Aku seorang lelaki yang pernah merasakan keangkuhan mutlak seolah olah aku sendiri yang menciptakan takdir, tentang bagaimana kehidupan aku harus dijilid, dengan siapa aku harus bersama, dan bagaimana harus sebuah pengakhirannya berlaku. Terlalu angkuh, aku jadi terlalu memikirkan tentang aku, semata.
Aku seorang lelaki mengaku rumit, kononnya memahami kerumitan seorang perempuan. Celaka, ia sebenarnya adalah dua liga yang berbeza. Jangan sesekali berani mengaku kau seorang lelaki yang memahami perempuan. Rupa rupanya selama ini aku bersama seorang perempuan tabah yang mereka reka bahagia. Perempuan kasihan yang selalu menginginkan kebahagiaan sebenar dari seorang lelaki, dari aku. Sungguh aku dibutakan oleh takdir yang aku cipta, bahawa dialah kebahagian infiniti, dialah segalanya buat aku. Benar, tetapi semuanya tentang aku. Sedangkan dia, terkapai kapai mencapai bahagia dari aku. Tiada imbalan setimpal.
Jika benar tanggapan aku, ada yang lebih penting dari kesetiaan, iaitu penghargaan, yang mana ia menjadi titik permulaan kepada sesuatu perpisahan yang mudah. Kesetiaan adalah suatu lanskap yang berlainan dari penghargaan dan sudah tentu awalan natijahnya juga berlainan, tetapi keduanya mungkin akan membawa natijah akhiran yang sama apabila ia tidak dapat dikecapi oleh perempuan, iaitu perpisahan. Biar aku hujahkan. Lelaki yang tidak setia sedar akan perlakuannya, sekali ia diketahui oleh perempuan ia akan menyebabkan shock dan dalam keadaan yang tidak bersedia dan masih mencintai. Percayalah, sesetengah perempuan masih mampu memaafkan. Tetapi, jika lelaki yang tidak tahu menghargai, mereka tidak sedar ini adalah ujian endurance buat perempuan. Mungkin bertahun lamanya. Dari merah menyala menjadi padam, dari hangat menjadi dingin, hambar, tawar. Wrong move lelaki, mungkin masih ada kemaafan tetapi sudah lupus perasaan. Dia sudah memutuskan, dia sudah bersedia, dia sedar dia perlu move on.Ini yang aku katakan perpisahan yang mudah. Tak ada lagi peluang, tak ada lagi kata rayu. Dia yang kau anggap hidup mati kau dah tak wujud. Maka, aku putuskan kesetiaan sahaja tidak cukup.
Lelaki, ini adalah warkah penyesalan. Jangan kerana kau bahagia, kau jadi yakin dia juga bahagia. Selalulah selak hati pasangan kau, mungkin ada lambakkan luka dari perlakuan kau sendiri. Waktu itu maaf kau bukan lagi harga yang setimpal. Merayulah semahu kau. Dia tidak akan menoleh lagi.
Siapa je yang tak pernah ada penyesalan dalam hidup. Malah lelaki angkuh seperti aku.