13/07/2015

SENYUM KESAKITAN

paksa atau rela
senyum menindas luka
aku mahu bertahan di sisi mu
walau kau bukan milikku

harapan ini memang menggilakan
hadir dengan sedikit simpati
hati menjadi pengemis kepada cinta
meminta minta yang sudah tiada

akan aku tanamkan semula kelopak jiwa
yang pernah aku sirami
semoga saja kau kekal subur disirami arjuna
yang pasti, bukan lagi aku
yang pasti, bukan lagi aku

maaf dan maaf
moga aku bertahan melakar senyum
menutup sesak deras sakit ini
izinkan aku sentiasa di sisi mu
walau kau bukan milikku









02/07/2015

SEPERTI SEMALAM

Jika kita dibenarkan sekali lagi menjadi seperti semalam, ingin aku ubah rentak hambar yang memamah hati kau sedikit demi sedikit menjadi luka terdalam yang tak pernah aku sangkakan ada. 

Manusia dan kesilapan sering berpimpin tangan dalam mengharungi kehidupan. Hari ini aku jatuh. Aku di ketawakan yang dinamakan penyesalan,  dan kesilapan sudah berlari jauh meleraikan pegangan tangan. Selama aku alpa, aku sangka kau bahagia, dan akan terus bahagia. Aku percaya kau bahagia.

Aku mahu teruskan kehidupan, tanpa rasa sesal yang berkubur selamanya di atas jalan kita. Masihkah kau mahu menerima? Atau sememangnya sudah terlalu mustahil untuk semalam berputar semula? 

Dan antara ribuan persoalan, ada satu yang paling aku tertanya, kenapa kita takkan lagi menjadi seperti semalam? 

Aku mahukan peluang. 

30/06/2015

PERGI, KEMBALI.

Pergilah sayang, semoga dengan perpisahan ini menjauhkan kita dari kegelapan. Kejarlah cahaya yang kau idamkan.

Aku percaya aturan tuhan. Biarlah aku sendirian. Kerna kau adalah suatu pengajaran, yang takkan aku buang, aku titip sebagai panduan. 

Cinta kita adalah satu kesilapan, tentang aku yang berangan angan inginkan suatu kebahagiaan, dan kau adalah mangsa kepada seorang lelaki yang tidak pantas merasakan cinta.

Semoga saja kau tidak mengulangi kesilapan yang sudah tepu membeku membentuk penyesalan, kita.

Ayuh kembali kepada tuhan. 

27/06/2015

SESAL

bicara tentang magis yang gagal
bagaimana kebahagiaan itu seharusnya mudah
aku masih silap
silap menilai hati perawan
mahunya pun sekali aku 
dan tergapai gapai di sebalik ketabahan
lalu meniup pergi magis magis bahagia
yang kusangkakan cukup mampan

dan jika ia adalah kebahagiaan yang terjeda
aku meminjam harap
mungkin waktu sedang membaiki ralat
antara kita

izinkanlah semula
cinta.

21/06/2015

SEBUAH KEYAKINAN TAHAP TINGGI DAN PERPISAHAN MUDAH.

Aku seorang lelaki yang pernah merasakan keangkuhan mutlak seolah olah aku sendiri yang menciptakan takdir, tentang bagaimana kehidupan aku harus dijilid, dengan siapa aku harus bersama, dan bagaimana harus sebuah pengakhirannya berlaku. Terlalu angkuh, aku jadi terlalu memikirkan tentang aku, semata.

Aku seorang lelaki mengaku rumit, kononnya memahami kerumitan seorang perempuan. Celaka, ia sebenarnya adalah dua liga yang berbeza.  Jangan sesekali berani mengaku kau seorang lelaki yang memahami perempuan. Rupa rupanya selama ini aku bersama seorang perempuan tabah yang mereka reka bahagia. Perempuan kasihan yang selalu menginginkan kebahagiaan sebenar dari seorang lelaki, dari aku. Sungguh aku dibutakan oleh takdir yang aku cipta, bahawa dialah kebahagian infiniti, dialah segalanya buat aku. Benar, tetapi semuanya tentang aku. Sedangkan dia, terkapai kapai mencapai bahagia dari aku. Tiada imbalan setimpal.

Jika benar tanggapan aku, ada yang lebih penting dari kesetiaan, iaitu penghargaan, yang mana ia menjadi titik permulaan kepada sesuatu perpisahan yang mudah. Kesetiaan adalah suatu lanskap yang berlainan dari penghargaan dan sudah tentu awalan natijahnya juga berlainan, tetapi keduanya mungkin akan membawa natijah akhiran yang sama apabila ia tidak dapat dikecapi oleh perempuan, iaitu perpisahan. Biar aku hujahkan. Lelaki yang tidak setia sedar akan perlakuannya, sekali ia diketahui oleh perempuan ia akan menyebabkan shock dan dalam keadaan yang tidak bersedia dan masih mencintai. Percayalah, sesetengah perempuan masih mampu memaafkan. Tetapi, jika lelaki yang tidak tahu menghargai, mereka tidak sedar ini adalah ujian endurance buat perempuan. Mungkin bertahun lamanya. Dari merah menyala menjadi padam, dari hangat menjadi dingin, hambar, tawar. Wrong move lelaki, mungkin masih ada kemaafan tetapi sudah lupus perasaan. Dia sudah memutuskan, dia sudah bersedia, dia sedar dia perlu move on.Ini yang aku katakan perpisahan yang mudah. Tak ada lagi peluang, tak ada lagi kata rayu. Dia yang kau anggap hidup mati kau dah tak wujud. Maka, aku putuskan kesetiaan sahaja tidak cukup. 

Lelaki, ini adalah warkah penyesalan. Jangan kerana kau bahagia, kau jadi yakin dia juga bahagia. Selalulah selak hati pasangan kau, mungkin ada lambakkan luka dari perlakuan kau sendiri. Waktu itu maaf kau bukan lagi harga yang setimpal. Merayulah semahu kau. Dia tidak akan menoleh lagi. 

Siapa je yang tak pernah ada penyesalan dalam hidup. Malah lelaki angkuh seperti aku.